Sunday, February 1, 2009

TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN



Internet Dalam Penggunaan Pendidikan

Pengenalan

Internet adalah nama khas yang merujuk kepada rangkaian komputer yang dibina dengan menggunakan protokol rangkaian atau 'bahasa rangkaian' yang dikenali sebagai TCP/IP (Transmission Control Protocol/Internet Protocol). Rangkaian ini diasaskan oleh sekumpulan komputer yang dihubungkan bersama-sama pada tahun 1960-an melalui sebuah projek penyelidikan yang diberi nama ARPA (Advanced Research Project Agency) oleh
Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. Matlamat asalnya ialah untuk menghasilkan satu jaringan yang membolehkan proses pemindahan data yang selamat di antara komputer-komputer tentera yang terletak di tempat tempat yang berbeza dengan menggunakan beberapa laluan komunikasi yang berlainan. Semenjak pertengahan 1980-an, satu agensi kerajaan Amerika Syarikat, National Science Foundation (NSF) dan lain-lain badan kerajaan diberi kuasa mengawal capaian kepada Internet. Dalam tahun 1991, pihak NSF mula longgarkan peraturan dan membenarkan kegunaan Internet untuk tujuan komersial. Pada April tahun 1995, kerajaan Amerika Syarikat seterusnya menyerahkan kawalan Internet kepada suatu badan bebas dan sekaligus menghapuskan sekatan capaian Internet. Di Malaysia, Internet bermula pada 1987 melalui Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) yang telah disambungkan kepada rangkaian Internet. Universiti tempatan merupakan pengguna RangKoM pada peringat awal. Kini, Internet telah mendapat sambutan hangat di kalangan masyarakat menerusi aplikasinya yang menarik
menyerlah sebagai sumber maklumat perdana. Mengikut statistik, pengguna Internet di Malaysia pada tahun 1990 dan 1995 masing-masing ialah 18 000 dan 778 000.Peningkatan ini disebabkan Internet telah mewujudkan pelbagai ruang untuk beraktiviti dan memainkan peranan sebagai agen perubahan masyarakat dalam kurikulum pendidikan negara. Revolusi teknologi maklumat yang bakal mempengaruhi persekitaran pendidikan semasa di Malaysia akan cuba dieksplotasikan melalui penubuhan sekolah bestari dan Internet menjadi salah satu kemudahan yang bakal memainkan peranan penting dalam mencorakkan sekolah yang berwajah baru di seluruh negara.

Penggunaan E-mel dalam Pendidikan

Aplikasi paling asas teknologi Internet yang boleh diketengahkan dalam bidang pendidikan khususnya di peringkat sekolah ialah aplikasi e-mel atau juga dikenali sebagai mel elektronik. Melalui aplikasi ini, pelajarpelajar boleh menyatakan sebarang masalah berkaitan dengan apa yang telah dipelajari dengan serta-merta.
Contohnya, pelajar boleh menanya guru soalan atau masalah yang dihadapi semasa belajar di perpustakaan atau di rumah melalui e-mel. Dengan itu, guru boleh menjawab atau membantu pelajar tersebut menyelesaikan masalah yang dihadapi melalui e-mel atau guru boleh menjadikan soalan atau masalah yang ditanya itu sebagai persediaan
untuk pengajaran pada hari yang berikutnya. Sebaliknya, guru juga boleh mengetahui respon pelajar terhadap kerja rumah yang diberi melalui e-mel. Menurut Dr. Jane Lasarenko (1997), kebaikan yang utama menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan guru
melalui e-mel ialah ini dapat menanam semangat yang tinggi di kalangan pelajar dalam pembelajaran mereka. Bukan itu sahaja, pelajar tidak lagi ada alasan untuk menghantar kerja rumah lewat kerana mereka boleh menggunakan e-mel untuk menghantar kerja rumah pada hari yang ditetapkan sehingga tamatnya hari tersebut. Selain itu, Cisco System Inc. iaitu sebuah syarikat teknologi maklumat yang menceburi bidang pendidikan menyebut bahawa melalui e-mel, para guru dan pelajar juga boleh berkomunikasi dengan sekolah-sekolah diseluruh negara bahkan di serata dunia hanya melalui makmal komputer atau bilik-bilik darjah. (Jamaludin Badusah et al. 2000). Aplikasi ini membolehkan mereka bertukar-tukar mesej semasa, berkongsi idea dan bahan-bahan pendidikan di antara satu sama lain memandangkan e-mel bukan sahaja cepat malahan juga murah berbanding dengan mel biasa atau menggunakan faksimili.

Internet Sebagai Sumber Rujukan

Kemudahan Internet juga telah memperkayakan lagi sumber-sumber maklumat. Tambahan pula, sebagai gedung ilmu yang luas sifatnya, kemudahan Internet mampu menyediakan sumber rujukan yang bersifat lebih menyeluruh. Kandungannya turut mencakupi keperluan maklumat pendidikan semasa sama ada untuk kegunaan golongan profesional, pendidik, keluarga, pelajar dan orang ramai. Lebih dari itu, Internet turut menyediakan pelbagai bentuk maklumat yang sesuai untuk pelbagai program pendidikan. Pencapaian maklumat tersebut adalah cepat dan mudah dikendalikan. Contohnya, jika mengambil laman Web sebagai salah satu sumber maklumat pendidikan, maka dengan usaha yang agak mudah kita boleh mendapatkannya dengan sekelip mata. Usaha tersebut dapat direalisasikan kerana Internet sudah dilengkapi dengan komponen-komponen yang dapat
membantu penggunanya seperti pelayar Web dan enjin pencarian atau Pencarian Maklumat Luas (Global Information Browsing) yang membolehkan pengguna melihat maklumat dengan mudah dan tidak kira di mana maklumat itu berada. Dengan itu, kategori laman-laman Web yang boleh disifatkan sebagai bermaklumat dan sesuai untuk tujuan pendidikan termasuklah laman Web bagi institusi pengajian tinggi maya, agensi berita, majalah dan akhbar dalam talian yang kandungan mereka ketengahkan bersifat lebih terperinci mudah dicapai.Kini bukan lagi satu khayalan apabila seseorang individu dengan mudah dapat melawat masuk ke dalam sebuah perpustakaan di seluruh dunia untuk pelbagai tujuan seperti mendapatkan sumber-sumber penyelidikan, pengajian rentas budaya, mempertingkatkan penguasaan bahasa asing, bertukar-tukar pendapat atau sekadar belajar dengan rakan sebaya. Contohnya jelas ketika ini apabila sudah terdapat perpustakaan elektronik di dalam Internet yang boleh membantu para pelajar dan guru membuat tugasan penyelidikan mereka. Perpustakaan tersebut akan menyediakan sebuah pintu masuk yang bersifat maya untuk membolehkan penggunanya mengakses pelbagai
sumber maklumat yang turut diperkayakan dengan unsur-unsur multimedia seperti teks, gambar, bunyi dan video yang pasti menyeronokkan pelajar. Di samping itu, terdapat pelbagai laman Web dalam Internet yang mempunyai perpustakaaan yang tersendiri yang dipanggil ‘virtual library’. Guru boleh mendapatkan maklumat atau bahan
rujukan untuk tujuan pengajaran sebelum disampaikan dalam kelas. Dengan penggunaan Internet sebagai sumber untuk mendapatkan maklumat, sudah pastilah corak pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung dalam suasana yang menyeronokkan.

Penggunaan Laman Web Sekolah

Teknologi Internet juga mampu menyediakan kemudahan kepada para guru dan pelajar untuk mengambil bahagian di dalam pelbagai aktiviti seperti pembangunan laman Web di setiap sekolah. Sudah ramai yang memperakui bahawa tapak-tapak Web boleh dijadikan sebagai saluran berkesan untuk mewartakan segala kegiatan yang dilaksanakan di sekolah-sekolah kepada para pelajar dan guru sekolah tersebut. Di samping itu
laman Web tersebut juga boleh diakses oleh para pelajar, guru-guru dan pihak lain yang berminat dari seluruh negara. Jika kemudahan ini diperluaskan lagi, ibu bapa hanya perlu melanggani laman Web tersebut untuk mengetahui segala perkembangan bidang akademik atau ko-kurikulum anak-anak mereka tanpa berkunjung ke sekolah. Ibu bapa juga dapat menghubungi guru melalui e-mel yang didapati dari laman Web yang dikunjungi. Secara tidak langsung, hubungan ibu bapa dengan pihak sekolah dapat ditingkatkan. Oleh yang demikian, masalah-maslah disiplin pelajar yang memerlukan kerjasama antara pihak sekolah dengan mudahnya dapat ditangani. Ibu bapa tidak ada lagi alasan bahawa mereka sibuk dan tidak dapat berkunjung ke sekolah untuk
berbincang tentang hal-hal anak-anak mereka. Guru mempunyai satu alternaltif lagi untuk berjumpa dengan ibu bapa anak muridnya.

Perkongsian Maklumat dengan Internet

Projek Jaringan Pendidikan (JP) di bawah kelolaan makmal Teknologi Komputer, Kementerian Pendidikan dan MIMOS merupakan satu usaha penting yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian kepada pelajar dan pendidik. Projek ini merupakan salah satu aktiviti dalam program Komputer Dalam Pendidikan oleh
Kementerian Pendidikan. Matlamat utama kewujudan projek ini adalah untuk mewujudkan perkongsian maklumat serta sekolah yang kaya dengan maklumat dan seterusnya meningkatkan mutu pendidikan bertaraf dunia. Menerusi projek ini, guru boleh memasukkan aktiviti-aktiviti kreatif dan inovatif yang berasaskan teknologi maklumat. Di dalam projek ini juga, terdapat kemudahan ‘mailing list’ (kumpulan perbincangan berasaskan topik yang menggunakan e-mel sebagai kaedah komunikasi) yang menyediakan kemudahan ‘listserv’atau senarai perkhidmatan dan terdapat lebih 3000‘listserv’ di dalam Internet yang boleh difikirkan oleh manusia (Jamaludin Badusah et. al 2000).

Penggunaan Internet oleh Guru

i.) meluaskan pengetahuan guru. Kemudahan Internet juga memberi peluang kepada guru mempertingkatkan tahap ilmu pengetahuan mereka melalui pelbagai maklumat yang berkaitan. Sebagai contoh para guru boleh mengakses bahan-bahan akedemik
dan mencari maklumat pendidikan melalui perpustakaan siber universiti-universiti tempatan dan luar negara atau kemudahan USENET yang disediakan oleh Internet. Di samping itu, para guru dapat membincangkan isu semasa pengajaran dengan guru-guru lain di seluruh negara mengenai program pendidikan yang telah berjaya.
ii.) sebagai Bahan Bantu Mengajar. Pendidikan berasaskan Internet juga boleh dikategorikan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran. Ini memandangkan kemudahan Internet bukan sahaja menawarkan komponen-komponen lain seperti laman-laman
Web, malah menyediakan sumber pendidikan berbentuk teks yang diperkayakan dengan unsur-unsur lain seperti grafik, animasi atau audio visual. Kaedah pendidikan melalui Internet ini memerlukan penglibatan aktif para penggunanya di samping mengetengahkan konsep interaktif. Konsep tersebut bukan sahaja sesuai menyampaikan
sumber-sumber maklumat berbentuk pendidikan, malah sesuai digunakan untuk menyampaikan program latihan dan perkhidmatan pendidikan dalam talian. Program-program pendidikan dan latihan secara interaktif menerusi Internet sama ada yang dikendalikan oleh pihak sekolah atau institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa
pendidikan memerlukan penglibatan secara langsung di antara pihak penerima dan penyampainya. Sebagai contoh mengakseskan nota-nota kuliah, menghantar dan menyemak tugasan boleh dilakukan menerusi talian. Pembelajaran ini dikatakan lebih memanfaatkan pelajar kerana walau apapun kaedah pengajaran yang dipilih,
penglibatan pelajar secara aktif perlulah diberi keutamaan. Penglibatan secara aktif oleh pelajar dalam mengakseskan bahan-bahan yang diperlu dalam Internet berupaya memupuk dan memperkembangkan kemahiran berfikir dan kreativiti di kalangan pelajar(Rashidi dan Abdul Razak 1997).

E-Tuisyen

Jika proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah sebelum ini hanya berkisar antara guru dan pelajar, kini Internet tidak ketinggalan turut dimanfaatkan sebagai alat bantu mengajar yang berkesan dan selari dengan kemajuan teknologi semasa.. ‘E-Tuisyen’ adalah sejenis perisian kursus yang disalurkan menerusi Internet dengan
menggunakan alamat www.e-tuisyen.com. Perisian kursus berkenaan dibina berdasarkan sukatan pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Melalui e-Tuisyen, pelajar berpeluang mengikuti kemudahan pembelajaran interaktif menerusi Internet untuk 28 mata pelajaran, iaitu 5 subjek UPSR, PMR (8) dan SPM (15) yang disampaikan dengan Bahasa Melayu. Lebih menarik
lagi, kesemua pelajaran terbabit disertakan dengan pelbagai unsur multimedia seperti animasi, video, grafik, teks dan disampaikan secara interaktif. Malah, perisian kursus yang membabitkan kos kira-kira RM 13 juta itu turut dilengkapi dengan kemudahan tambahan seperti pangkalan data ujian dan kad laporan elektronik. ‘E-Tuisyen’ ini dapat membantu mempertingkatkan keberkesanan proses pembelajaran pelajar kerana melalui teknologi Internet,‘e-Tuisyen’ boleh diakses secara mudah dan pada bila-bila masa sekaligus mendedahkan pelajar untuk belajar secara sendiri. Tambahan pula, dengan adanya unsur-unsur multimedia pelajar akan dapat lebih memahami
pengajaran mata pelajaran yang agak sukar dijelaskan seperti Matematik.

Bukti kepentingan Internet dalam Pendidikan

Di Britain beribu-ribu buah sekolah telah menikmati kemudahan Internet. Di Kanada dan Amerika Syarikat, sekolah-sekolah telah dihubungkan dengan Internet sejak beberapa tahun dahulu. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh sebuah pertubuhan di Amerika Syarikat, CAST telah mendapati pelajar yang mencapai Internet mampu menghasilkan projek sekolah yang lebih baik berbanding dengan para pelajar
yang tidak memiliki Internet (Jamaludin Badusah et al. 2000). Ini membuktikan peranan Internet dalampendidikan adalah sangat besar. Sesungguhnya, Internet berupaya mengangkat kemampuan dan kecermelangan para pelajar dalam pelajaran dan pembelajaran pelajar di Malaysia. Sehubungan itu, pendekatan Sekolah Bestari yang digubal dan Persekitaran Pembelajaran Bestari sebagai susulan
daripadanya ditujukan khusus kepada pelajar-pelajar. Program yang digubal oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama pihak pengamal dan penggalak seperti MIMOS ini bertujuan untuk menggalakkan pembelajaran dengan Internet yang memerupakan pembelajaran sepanjang hayat. Galakkan ini diharapkan menjadi dasar ke arah melahirkan manusia yang cekap dalam menerima ilmu melalui penggunaan Internet.

Penutup

Berdasarkan kepada perkembangan semasa, kemudahan Internet di peringkat sekolah di negara ini masih lagi terhad dan baru di tahap permulaan. Walaupun demikian persekitaran sekolah dijangka memberikan suasana yang sesuai dalam usaha mengintegrasi teknologi maklumat dalam budaya masyarakat kita. Sekiranya kemudahan
Internet ingin dieksploitasikan sepenuhnya dalam memperkayakan lagi sumber-sumber pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah di negara ini, sudah sewajahnya pihak-pihak yang berkenaan memberikan latihan yang mencukupi kepasa golongan guru dan pelajar. Kita tidak mahu melihat segala kemudahan yang akan dibekalkan nanti ibarat gajah putih kerana penggunanya ketandusan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang
berkenaan. Sehubungan itu, banyak lagi perkara yang perlu diteliti dan dilaksanakan bagi memastikan peluang yang tersedia dimaanfaatkan sepenuhnya dan boleh dikecapi oleh setiap individu yang terlibat dalam sektor pendidikan negara.Kini pendidikan adalah isu global yang perlu diberi perhatian memandangkan kepentingannya membawa
Malaysia ke arah pencapaian yang lebih cermelang. Untuk membekalkan kualiti pendidikan yang bertaraf antarabangsa demi melahirkan generasi baru yang bersifat inovasi, berfikiran saintifik serta berupaya berinteraksi secara efektif melalui teknologi-teknologi terbaru, khususnya Internet, sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu sentiasa bertindak balas positif terhadap pembangunan teknologi terutama dalam pembinaan struktur pengajaran. Keperluan kepada penggunaan teknologi pendidikan berasaskan internet jelas menggambarkan betapa pentingnya pemelajaran elektronik dalam pendidikan kerana hal ni berperanan mentranformasikan Malaysia menjadi negara maju yang berorientasikan teknologi maklumat dan komunikasi.

1 comment:

  1. Kita sebagai guru perlu sentiasa seiring dengan perkembangan semasa...dan berada sekurang-kurangnya setapak di hadapan pelajar-pelajar... Semoga kita mampu menggalas tanggungjawab ini...

    ReplyDelete

Anda dialu-alukan untuk menghantar sebarang cadangan atau komen untuk blog ini...semoga menjadi panduan kita bersama